SURAH AL'ASR -

SURAH  AL'ASR -

2.10.2008

Sebuah luahan hati...



Sebenarnya saya baru dua bulan setengah berpindah dari Johor ke Sabah. Saya berasal dari Segamat Johor tetapi isteri saya berasal dari daerah Papar Sabah.


Mentari petang di Pantai Tanjung Resang, Mersing

Walaupun begitu, baru-baru ni sahaja saya cuba-cuba untuk menulis dalam blogs ni. Dulu ada juga saya cuba-cuba menghantar pendapat ke majalah Mastika. Tetapi disebabkan kekangan masa saya pendamkan hasrat untuk menulis. Sebenarnya saya minat untuk menulis, tetapi kadang kala banyak perkara yang nak dibuat, maka hasrat untuk menulis tertinggal begitu saja.



Bukan apa saja mengisi masa lapang disebabkan cuti panjang sempena Bahun Baru Cina. Kebetulan dah dua hari hujan turun di Papar ni. Maka saya pergunakanlah untuk menulis.

Sebelum menjadi seorang guru, saya pernah bertugas sebagai anggota PDRM di PPH(sekarang PGA) Lahad Datu, Sabah dari tahun 1988 sehingga 1991. Pada Jun 1991, saya memasuki Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.

Saya mula bertugas di SMK Tenom, di daerah Tenom, Sabah pada 1 Disember 1993. Pada 1 Januari 1995 saya bertukar ke SMK Benoni, Papar sehingga 31 Disember 1997. 1 Januari 1998, saya mula bertugas di SMK Labis, di daerah Segamat, Johor. Pada bulan Februari 2001, saya bertukar lagi ke SMK Tenang Stesen, Segamat, Johor. Pada tahun November 2002, saya menyambung pengajian secara separuh masa di UTM, Skudai sehingga Julai, 2007.

Disebabkan jarak yang jauh lebih kurang 200 kilometer yang terpaksa saya tempuhi untuk menghadiri kuliah setiap minggu, maka sekali lagi saya mohon ditukarkan ke Simpang Renggam. Kali ni saya bertugas di SK Simpang Renggam 2, Kluang, Johor. Setelah habis pengajian tahun lepas, saya pun memohon bertukar ke kampung isteri saya di Kg. Sungai Padang, Papar, Sabah.

Sebenarnya apabila saya memohon pindah ke Sabah, ramai orang bertanya kepada saya kenapa dan mengapa saya mohon perpindahan ke sini. Suatu soalan yang amat sukar aku luahkan melalui perkataan dan hanya boleh aku nyatakan bahawa isteri saya berasal dari Sabah. Sebenarnya banyak sebab mengapa saya memohon pertukaran ke Sabah dan akan saya ceritakan di masa akan datang.


Hampir 15 tahun saya bertugas sebagai seorang guru, terlalu banyak pahit getir yang saya lalui. Banyak perkara yang saya terpaksa pendamkan walaupun kadang kala ianya boleh membuatkan saya rasa tension yang teramat sangat. Bermula dari ragam pelajar, ibu bapa dan pentadbir semuanya terpaksa ditelan walaupun pahit.

Antara pengalaman pahit manis yang pernah saya lalui ialah ketika bertugas di SMK Tenang Stesen, rumah saya pernah dibaling dengan mercun oleh pelajar disebabkan saya menghukum mereka di sekolah atas kesalahan disiplin. Disebabkan saya mengajar berdekatan dengan kampung asal saya (saya tinggal berlainan rumah dengan orang tua) kebanyakkan pelajar yang saya ajar datangnya dari kampung saya. Masalah yang dihadapi ialah apabila saya menghukum pelajar yang melakukan kesalahan disiplin, ada kalangan ibu bapa yang tidak berpuashati dan datang ke rumah ibu bapa saya bertanyakan mengapa anak mereka dihukum.

Kadang kala saya rasa nak biarkan sahaja anak-anak mereka itu melakukan kesalahan. Tetapi atas dasar tanggungjawab dan tidak mahu melihat anak bangsa saya terus hanyut, maka menjadi tanggungjawab saya untuk mengambil tindakan disiplin walaupun banyak onak dan durinya.

Walau macam mana perit pun kesan yang saya terima, alhamdulillah saya masih lagi dapat bertahan dalam bidang yang telah saya ceburi ini...

Sepanjang dua bulan setengah saya bertukar ke Sabah, saya bertemu semula dengan rakan lama di PPH pertengahan Januari lalu. Banyak cerita lama yang kami bualkan setelah hampir 16 tahun tidak bertemu. Dari cerita rakan-rakan lama sehinggalah ke cerita bagaimana kami bertemu semula di Papar. Rakan saya ini berasal dari Terengganu dan berkahwin dengan seorang jururawat di Hospital Papar.

Akhir kalam, semoga minat saya untuk menulis ini akan berterusan. Insya Allah.








Tiada ulasan:

Powered By Blogger