SURAH AL'ASR -

SURAH  AL'ASR -

2.07.2008

COCO PEAT

COCO PEAT
Pengenalan

Coco peat adalah media tanaman organik. Ia dihasilkan melalui proses pereputan sabut kelapa dalam keadaan lembab dan berudara.

Pada asasnya, coco peat digunakan untuk memperbaiki stuktur tanah dan menyuburkan semula tanah. Ia adalah pembekal nutrien yang baik kerana mempunyai ciri-ciri pelepasan yang perlahan walaupun kandungan bajanya rendah. Dewasa ini coco peat boleh dikomersilkan kerana ia menjadi media penting dalam industri pertanian terutama dalam bidang landskap, semaian, pertanian, pertanian organic dan di kawasan pertanian.

Bahan mentah untuk membuat coco peat secara komersil terdiri daripada kelapa kering yang mudah diperolehi dengan jumlah yang banyak dan berharga murah. Coco peat merupakan bahan buangan daripada bahan lembut sabut kelapa. Ia boleh digunakan sebagai medium pertumbuhan atau sebagai campuran pemasuan. Coco peat dapat memperbaiki struktur tanah dan pasir dimana bahan ini baik dalam pengeluaran pertanian terutamanya untuk tanaman sayur dan buah-buahan.

Sebanyak 30 % coco peat boleh diguna atau dicampurkan dalam media penanaman untuk menambah baikkan. Tumbuhan boleh membesar di dalam medium coco peat. Tanaman yang mempunyai rumah hijau, kawasan yang mempunyai udara yang kering dan kerap mengalami banjir adalah ideal dan sesuai menggunakan kaedah penanaman jenis ini.

Jenis Tanaman

Antara jenis-jenis sayuran yang boleh ditanam dengan menggunakan kaedah ini adalah :
a. Sayuran jenis daun
i. Keluarga sawi (Crusifer)
-sawi putih
-sawi hijau
-sawi cina
ii. Bayam
iii. Kailan
iv. Kangkung

b. Sayuran jenis buah
i. Tomato
ii. Cili
iii. Terung
iv. Timun
v. Bendi
vi. Peria


Bagaimana Coco Peat Berfungsi ?

a. Coco peat boleh digunakan untuk penyemaian biji benih, sebagai tapak tanaman, taman dan medium penanaman.
b. Coco peat boleh bertindak sebagai pemegang air dan ia boleh memegang 8-9 kali beratnya air. Ia bersifat seperti span yang boleh menyerap air dengan cepat tetapi ia tidak menyebabkan air bertakung dan membenarkan pengaliran air berlebihan.

c. Coco peat berkeupayaan sebagai tempat simpanan dan pengeluaran tanaman untuk jangkamasa yang panjang. Ia mengandungi kandungan lignin yang tinggi (lebih kurang 45 %) yang mana tidak sesuai untuk pertumbuhan bacteria dan kulat. Ia juga tidak mengecut.


d. Ia mengandungi bahan pengoksidaan yang mana penting untuk pertumbuhan akar yang sihat. Biasanya ia mempunyai 96% ruang liang dan ini membenarkan air melaluinya dengan mudah dan menghalang air daripada bertakung. Dalam masa yang sama ia dapat memegang air yang banyak dan dapat digunakan oleh tumbuhan sekiranya diperlukan.

e. Ia mempunyai pH yang ideal iaitu antara 5.2 – 6.8 yang mana bersifat sedikit berasid dan sesuai untuk pertumbuhan pokok.

f. Ia senang digunakan. Ia boleh di dapati dalam bungkusan atau guni. Hanya perlu dicampurkan dengan bahan organik seperti tahi lembu dan sekam padi.

g. Coco peat boleh digunakan semula dalam tempoh 4 tahun. Proses pereputan yang agak lambat dan ia sesuai untuk tanaman dalam bekas seperti pokok bunga ros yang boleh hidup dalam jangkamasa yang panjang.

Kebaikan Coco Peat

a. Membekalkan bahan organik dan perapi semulajadi kepada tanah.
b. Berkeupayaan untuk memegang nutrien dan oksigen dengan baik.
c. Mempunyai pH antara 5.2 – 6.8
d. Perubahan kation yang baik.
e. Memegang kelembapan yang lebih baik dan lama
f. Memastikan perkembangan akar yang baik
g. 100% tulen dan bebas daripada rumput, menjadi busuk dan jangkitan toksid
h. Disarankan supaya dicampurkan dengan tanah dengan nisbah 1:3
i. Tahan lama
j. Mudah digunakan
k. Proses penyiraman yang mudah
l. Tidak mengecut




Teknik Penanaman

Bahan-bahan asas penanaman dan peralatan yang digunakan.

1. Habuk sabut
2. Bahan organan (tahi ayam atau lembu)
3. Tahi lembu adalah lebih sesuai digunakan kerana bahan makanan lembu adalah daripada sumber organan.
4. Polibeg ( 18cm x 15cm)
5. Kotak semaian biji benih
6. Tali raffia ( untuk sokongan)
7. Dawai penyokong
8. Kayu penyokong
9. Gelen air
10. Pam
11. Saluran paip titisan

Langkah-langkah penanaman

a. Penyediaan anak benih
i. Semai biji benih ke dalam kotak semaian
ii. Selepas dua minggu percambahan atau anak benih telah mempunyai 2 hingga 3 helai daun, pindahkan ke dalam polibeg.

b. Penyediaan medium penanaman
i. Buat campuran medium polibeg yang mengandungi (80% COCO-PEAT’ + 20% Bahan organik)
ii. Masukkan ke dalam polibeg setinggi ¾ saiznya.
iii. Letakkan di tempat yang dikhaskan.

c. Penyelenggaraan tanaman
i. Jalankan kerja-kerja pengerasan anak benih selama satu hingga 2 minggu
ii. Pindahkan anak benih di dalam polibeg ke kawasan tapak penanaman.
iii. Lakukan kerja-kerja penyiraman sekurang-kurangnya dua kali sehari (sebaik-baiknya tiga kali sehari)
iv. Membina alat sokongan
v. Memasang dan mengikat tali sokongan pada pokok
vi. Menjalankan kerja-kerja pengawasan dan pemungutan hasil

Kebaikan Penanaman Secara Coco Peat

Penanaman dengan menggunakan kaedah coco peat mempunyai kebaikan-kebaikan tertentu. Di antara kebaikan tersebut adalah :

a. Peningkatan hasil dan kualiti

Hasil pengeluaran menggunakan kaedah ini adalah lebih tinggi berbanding dengan kaeda biasa di atas tanah yang sama. Di samping itu, kualiti tanaman yang dihasilkan juga lebih baik dengan berat dan bentuk yang lebih seragam.

b. Kawalan penyakit dan serangga perosak

Kawalan penyakit dan serangga perosak adalah mudah kerana keadaan persekitaran yang lebih terkawal. Oleh hal yang demikian penggunaan racun ditahap minima.




c. Kawalan kesuburan tanaman

Zat-zat makanan telah disediakan dalam medium-medium khas (dalam polibeg) dan terkawal serta mencukupi untuk sepanjang tempoh penghidupan semusim.

d. Penjadualan tanaman

Tanaman ini boleh dilakukan sepanjang masa dan hasil-hasil dapat dikeluarkan dengan lebih konsisten.

e. Persekitaran yang lebih bersih serta bebas dari gangguan perosak dan Penyaki tanaman.
Sistem ini tidak melibatkan penanaman di atas tanah. Ia hanya perlu diletakkan di satu kawasan khas yang bebas dari rumai serta lapang bagi membolehkan ia mendapat cahaya matahari yang cukup. Kawasan persekitaran juga akan kelihatan bersih dan bebas dari gangguan perosak dan penyakit.

f. Pengawasan yang minima

Sistem ini tidak memerlukan pekerja yang ramai kerana ia tidak melibatkan kerja-kerja pembajakan, meracun rumpai dan juga serangga. Kerja-kerja penjagaan pokok akan menjadi lebih mudah jika menggunakan siraman automatik. Secara tidak langsung pengguna bebas menjalankan tugas-tugas yang lain.

g. Kerjaya sebagi petani moden

Projek ini merupakan contoh yang nyata kepada peladang-peladang, bahawa kerjaya sebagai petani moden bukanlah bergelumang dengan Lumpur dan menggalas cangkul semata-mata. Malahan kaedah pertanian kini lebih bersih, mudah dan menjamin pendapatan yang lumayan.







2 ulasan:

Ibu Qistina berkata...

Salam,

tuan,mohon minta izin untuk kongsikan maklumat tuan di blog saya. Saya letakkan kredit ke blog tuan.

Tq

Trgbesh berkata...

Saya mohon copy info dalam blog tuan ye. Tq

Powered By Blogger